Kenapa lemah sangat kepimpinan dan pentadbiran…
September 20, 2007
yang melibatkan nyawa dan keselamatan para penumpang bas? Kenapa tiada dalam pemikiran untuk mengatur perancangan dan strategi meletakkan kepentingan orangramai mengatasi kepentingan individu dan organisasinya? Tidakkah ada sesiapa yang bertanggungjawab mendidik mentaliti para pemimpin organisasi pengangkutan macam ni?
——————————————————————————————————————-
Pemandu kurang
KUANTAN 19 Sept. – Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMS) bimbang tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan operasi pembersihan menyebabkan pemandu yang tinggal akan dikerah bekerja lebih masa oleh syarikat masing-masing pada musim perayaan ini.
Presidennya, Mohd. Yasin Yacob berkata, pihaknya meramalkan berlaku kekurangan pemandu bas pada musim perayaan ini berikutan tindakan pihak berkuasa berkenaan.
Justeru, menurut beliau, ia boleh menimbulkan masalah baru iaitu syarikat-syarikat bas memerah tenaga pemandu mereka untuk memandu melebihi had masa dan kekerapan perjalanan yang biasa.
‘‘Jika ini berlaku, kita bimbang pemandu yang ada akan dikerah memandu berulang kali bagi memenuhi permintaan pengangkutan yang meningkat semasa musim perayaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengeluaran 1,000 Lesen Perubahan Sementara (LPS) oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kepada syarikat-syarikat bas untuk menampung keperluan orang ramai pada musim perayaan kali ini.
Mohd. Yasin berkata, syarikat pengangkutan yang ingin mengaut untung lebih mungkin mengenakan tekanan ke atas pemandu mereka untuk bekerja lebih masa dan membuat perjalanan lebih kerap ke destinasi tertentu.
Menurutnya, ini akan mendorong pemandu-pemandu terbabit menggunakan bahan terlarang seperti dadah untuk meneruskan tugas masing-masing seterusnya menyumbang kepada peningkatan kemalangan.
Justeru, beliau berharap, syarikat-syarikat bas memikirkan strategi yang lebih baik agar pemandu mereka tidak terlalu dibebankan dengan tugasan memandu bas melebihi had masa dan kekerapan yang sepatutnya.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm